Assalamualaikum.. Tazkirah Jumaat
Solat itu dapat mencegah seseorang daripada melakukan dosa dan maksiat
ABSTRAK
PENDAHULUAN
PENGERTIAN SOLAT
Dari sudut bahasa, sembahyang sering diertikan dengan doa atau memohon kebajikan dan pujian. Dari segi syarak, sembahyang diertikan sebagai beberapa ucapan dan perbuatan yang dimulai dengan takbir, disudahi dengan salam, dilakukan dalam keadaan beribadah kepada Allah s.w.t, dengan menurut segala syarat yang telah ditentukan.
SEMBAHYANG PUNCA KETENANGAN JIWA
Sembahyang mencegah seseorang dari melakukan kemungkaran dan maksiat kerana sembahyang ialah punca ketenangan jiwa. Seorang Islam yang taat dan dapat menikmati serta memahami sembahyang akan mendapat kekuatan jiwa juga keteguhan semangat dalam menghadapi segala dugaan. Sembahyang mengajar dan mendidik manusia bersifat tenang. Hanya dengan ketenangan, seseorang itu dapat menikmati hakikat sembahyang dan mengejarkannya dengan khusyuk, terutamanya ketika melakukan tamakninah. Sembahyang tidak sah, tanpa tamakninah. Tegasnya, sembahyang itu mendidik diri supaya bersifat tenang dan tertib.( Dr Amran Kasimin,11). Apabila kita solat, kita mendekatkan diri lagi kepada yang Esa, menjadikan setiap amalan yang kita lakukan hanyalah mengharapkan ampunan dan Redhanya, mengabdikan diri kepadaNya dan perasaan takut akan azabNya yang tidak terperi. Perasaan inilah yang akan menjadikan kita jauh dari perkara-perkara mungkar dan maksiat yang dilarang Ilahi.
SEMBAHYANG MENCEGAH KEMUNGKARAN DAN DOSA
Apabila solat dikatakan tidak dapat membantu membentuk diri pelakunya bermaksud sembahyangnya yang tidak betul. Sembahyang yang tidak betul tidak dapat mencegah seseorang dari melakukan perbuatan tidak bermaruah. Jika kita sembahyang dan masih melakukan perkara terkeji, bermakna sembahyang kita masih lagi tidak betul. Manakala sembahyang yang betul ialah seperti mana dalam Firman Allah s.w.t: ‘’Sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar’’ (Surah Al-Ankabut,45)
Allah s.w.t telah berfirman bahawa solat itu mencegah dari melakukan kemungkaran, maka perlulah kita berusaha untuk khusyuk dalam solat. Kita hendaklah ingat kepada Allah semasa sembahyang untuk menghayati maksud solat itu sendiri.
MEMAHAMI BACAAN SEMBAHYANG
Manusia yang tidak mampu membentuk diri mereka melalui solat ialah mereka yang tidak memahami maksud setiap bacaan yang dibaca ketika bersolat dan juga mereka yang tidak mengambil berat tentang solat itu sendiri. Ramai yang tidak memahami setiap bacaan dan sekadar membacanya dan juga ada yang memahami namun tidak ambil peduli dengan setiap bacaan tersebut. Sebagai seorang manusia yang soleh, perlulah memahami setiap bacaan yang dibaca dalam solat. Memahami bacaan bermaksud memahami maksud kalimah yang dituturkan. Ramai orang tahu makna kalimah-kalimah yang dituturkan, sama ada secara ijmali atau tafsili, tetapi tidak dapat menghayatinya. Hal ini sangat penting kerana dengan memahami setiap maksud bacaan itu, dapat memberikan kefahaman dan dengan itu dapat menyumbang kepada khusyuk dalam solat seperti mana yang perlu setiap muslimin lakukan. Sebahagian daripada kita tahu kalimah tersebut tetapi tidak tahu makna disebaliknya. Jadi, dengan itu solat mereka tidak mampu mengelakkan diri mereka daripada melakukan kemungkaran( Dr Amran Kasimin,117). Maksudnya kita masih belum lagi memahami setiap apa yang kita lafazkan di dalam solat, bahkan kata-kata yang dilafazkan itu masih belum lagi mampu untuk masuk ke hati, melekat di situ dan meninggalkan kesan yang amat mendalam kepada diri dan setiap perbuatan kita. Oleh kerana itu, solat 5 waktu sehari semalam tidak mampu membentuk mereka kerana mereka sendiri yang mengabaikan solat itu dengan tidak memahami maksud-maksud dan mengamalkan setiap perintah yang diperintahkan oleh Allah s.w.t.
KESAN SEMBAHYANG YANG KHUSYUK
Terdapat banyak kesan-kesan solat yang khusyuk kepada kehidupan setiap umat Islam. Antaranya ialah dapat mengawal diri. Orang yang solat sentiasa mengawal hati, pemikiran, perasaan dan anggotanya agar tidak membuat kerja selain yang menjadi rukun qauli, qalbi dan fi'li. Jika ada membuat gerakan besar tiga kali berturut, maka solatnya boleh terbatal. Jika fikiran dan hatinya melayang maka ingatan, hubungan dan munajatnya dengan Allah akan terganggu. Jadi ia akan terus berusaha untuk mengawal diri dalam solat dan di luar solatnya.
SEMBAHYANG ADALAH UNTUK KEMASLAHATAN MANUSIA
Allah s.w.t memerintahkan sembahyang kepada manusia untuk kebaikan manusia sendiri kerana tujuan sembahyang itu agar dapat mencegah perbuatan keji dan mungkar. Tidak sedikit orang di antara kita nampaknya iltizam mengerjakan sembahyang tetapi masih bergelumang dengan maksiat dan kemungkaran. Dengan itu, jelaslah bahawa solat membentuk diri seseorang muslim yang cemerlang dunia akhirat. Bagi mereka yang bersolat namun masih melakukan maksiat dan kemungkaran, itu bermakna solat mereka masih lagi belum sempurna untuk membentuk peribadi yang unggul di sisi Allah s.w.t.
KESIMPULAN
Secara kesimpulannya, menurut ahli-ahli sufi solat adalah sebenarnya satu permohonan serta satu percakapan antara makhluk dengan penciptanya. Sebab itu doa memerlukan persemadiannya yang penuh. Dalam ibadat-ibadat lain kita tidak perlu begitu berhati-hati. Oleh kerana itu, adalah mustahak bagi kita supaya penuh berhati-hati semasa bersolat kalau tidak solat kita adalah seumpama seseorang yang mengigau dalam tidur, tetapi sungguhpun solat kita tidak sedarjat dengan solat orang-orang yang soleh, maka janganlah pula kita meninggalkan solat itu. Tidaklah betul sama sekali kalau kita memikir bahawa tidaklah berfaedah bersolat kalau tidak dikerjakan dengan sempurnanya. Solat dengan kurang kesempurnaanya adalah lebih baik dari tidak bersolat langsung kerana akibatnya ialah seksa yang paling pedih di akhirat kelak. Sebab itu adalah jelas sejelas-jelasnya bahawa kita sekalian mesti berusaha dengan seikhlas-ikhlasnya untuk bersolat dan berdoa ke hadirat Allah s.w.t supaya Ia memberi kepada kita taufiq dan hidayah supaya dapat kita bersolat seperti mana orang-orang yang soleh bersolat di masa-masa dulu sekurang-kurangnya yang sedemikian itu ada pada kita untuk dipersembahkan ke hadirat Allah s.w.t. Di dalam sembahyang satu penumpuan minda yang jitu bagi mengingati keagungan dan kebesaran Illahi dimestikan. Jadi, apa juga perkara atau halangan yang boleh merosakkan penumpuan minda ini boleh mencederakan sembahyang itu. Dengan ini, maksud sembahyang tadi tidak akan tercapai. Apabila maksud sembahyang tidak tercapai sukar untuk seseorang itu memahami setiap bacaan yang merupakan doa untuk kita menghindari perbuatan maksiat dan mungkar. Jadi cara terbaik untuk menghindari maksiat atau mungkar ialah dengan solat dengan khusyuk dan memahami setiap bacaan tersebut. Oleh itu, kita sebagai hamba Allah s.w.t mesti berusaha untuk memperbaiki solat agar menjadi sempurnA. Sesungguhnya orang-orang yang tidak berusaha untuk memperbetulkan amalannya ialah golongan-golongan yang berada dalam kerugian.